Melalui Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) yang berperuntukan lebih RM471.6 juta disediakan buat Keluarga Malaysia kategori B40.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan merangka pakej itu sebagai persediaan ke arah menghadapi era endemik Covid-19.

Menurutnya ia juga bertujuan meringankan beban kewangan isi rumah B40, melatih diri membudayakan norma baharu dan sekali gus membantu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus.

“Sehubungan itu, kerajaan akan mengagihkan bantuan PPC yang mengandungi pek pelitup muka guna semula tertakluk empat keping setiap keluarga; kit ujian kendiri Covid-19 dengan empat kit setiap keluarga.

“Selain itu turut diagihkan satu ‘pulse oximeter’, termometer (satu) serta risalah panduan penggunaan dan info kesihatan.

“Pemberian PPC buat masa ini akan dimulakan dengan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kriteria penerima kalangan isi rumah B40 adalah mereka yang sudah berkahwin sama ada mempunyai anak atau tidak; ataupun ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak.

Menurutnya, inisiatif itu dijangka akan memanfaatkan 3.6 juta keluarga B40 dengan keseluruhannya terdapat 8.4 juta penerima BPR.

Tamat