PETALING JAYA: Takrifan melompat parti perlu diperincikan terlebih dahulu sebelum Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti diluluskan dan dilaksanakan di Parlimen.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pakar perlembagaan, Prof. Datuk Salleh Buang berkata, takrifan perlu dibuat kerana istilah lompat parti boleh membawa pelbagai definisi mengikut tetapi pada masa sama perlu memastikan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Namun, katanya, akta tersebut hanya perlu tertakluk kepada individu yang menjadi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bukan kepada ahli-ahli biasa.

“Ahli Parlimen dan ADUN yang lompat parti perlu diajar dan dikenakan hukuman kerana mereka mengkhianati sumpah jawatan, mereka bertanding atas tiket parti X tapi lompat ke parti Y. Tetapi apakah hukumannya, adakah hilang kerusi atau kosongkan kerusi? Istilah ini perlu dijelaskan.

“Niat setiap wakil rakyat yang lompat parti adalah berbeza dan berhak untuk bertanding semula. Jika seseorang wakil rakyat itu melompat parti sebab nak sokong kerajaan, itu hak dia, tetapi jika dia lompat parti dengan niat untuk meruntuhkan kerajaan, itu perlu dikenakan hukuman berat kerana memporak-perandakan negara seperti apa yang berlaku ketika Langkah Sheraton,” katanya.

Katanya, jika sekumpulan ahli Parlimen dari parti yang sama membuat keputusan untuk meninggalkan gabungan politik dan menyertai gabungan baharu untuk membentuk kerajaan, ia juga wajar dianggap sebagai melompat parti.

“Adakah mereka melakukannya dengan niat suci atau cuba meruntuhkan kerajaan? Jika mereka melakukannya sewaktu bukan pilihan raya, ia boleh dianggap sebagai melompat parti. Tetapi mereka juga ada hak dan hak mereka tidak boleh digugat, ia juga perlu bergantung kepada situasi,” katanya.

Bagaimanapun, Salleh berpendapat mana-mana wakil rakyat tidak seharusnya dibenarkan melompat parti selepas pilihan raya diadakan dan perlu menghormati mandat rakyat.

“Apabila mengkhianati mandat rakyat, maka berlaku ketidakstabilan kerajaan sedangkan dalam tempoh mandat diberikan, kerajaan sepatutnya menumpukan kepada memulihkan ekonomi dan kesihatan.

“Macam dalam Islam, mandat rakyat itu adalah janji, jika mungkir janji itu, maka dia dianggap munafik,” katanya.

Dalam pada itu, Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berpendapat terdapat tiga komponen penting yang perlu diteliti iaitu definisi lompat parti, kesalahan menerima imbuhan atau habuan dan pengosongan kerusi wakil rakyat.

“Kesalahan lompat parti mestilah atas niat untuk menjatuhkan kerajaan, maka secara automatik kerusi wakil rakyat perlu dikosongkan dan diadakan pilihan raya semula. Jika wakil rakyat itu menerima tawaran imbuhan, habuan atau rasuah, ia perlulah diletakkan dibawah peraturan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ia adalah kesalahan jenayah.

“Jadi draf akta ini perlu diteliti supaya ia tidak menghalang hak pengundi iaitu mandat rakyat serta hak wakil rakyat untuk melompat parti. Ahli-ahli Parlimen perlu main peranan di Dewan Rakyat, jangan jadi pak turut sahaja, pastikan akta ini tepat, betul dan efektif. Akta ini tujuannya adalah untuk menyelamatkan demokrasi dan mandat rakyat, bukannya menjahanamkan negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE