KUALA LUMPUR – Pembinaan struktur tambahan yang melanggar undang-undang dan garis panduan dikenal pasti antara punca menyebabkan insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights di sini, Jumaat lepas.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu antara yang dapat dilihat menerusi tinjauan ke lokasi kejadian pada Ahad.

“Setiap pembinaan di lereng bukit atau tempat tinggi sudah ada garis panduannya sendiri di bawah Jabatan Perancang Bandar dan Desa serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya kira masa pembinaan mereka ikut undang-undang, tetapi selepas siap ada pula penambahan dan sebagainya itu yang kadang-kadang di luar pemantauan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam insiden tanah runtuh itu, tiga rumah banglo dan 12 rumah jenis bandar membabitkan 27 keluarga terjejas namun tiada sebarang kemalangan jiwa. – Bernama