KETIKA sesi soal jawab lisan semalam, YB Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, Menteri KeTSA menjawab soalan asal yang dikemukakan oleh YB Ketua Pembangkang berkenaan isu pemantauan terhadap aktiviti pembalakan di kawasan hutan khususnya hutan simpan.

YB Ustaz Sabri Azit, Ahli Parlimen Jerai pula bangun bertanya soalan tambahan berkenaan apakah tindakan kementerian untuk melestarikan hutan di sepanjang jalan menuju ke puncak Gunung Jerai pasca bencana kepala air baru-baru ini?

Lantas, Menteri pun menjawab secara faktanya;

1. Jerai adalah satu kawasan yang telah diisytiharkan sebagai National Geopark of Jerai pada tahun 2018. Atas status tersebut, aktiviti pembalakan memang tidak dijalankan langsung di situ.

2. Hutan Simpan Ulu Muda yang kawasannya seluas 106,000 hektar yang mana 12 peratus, 12,720 hektar merupakan kawasan hutan perlindungan dan 88 peratus boleh diusahasil. Tiga tahun kebelakangan ini, ianya tidak diberikan lesen usahahasil walaupun sejak 2014 hingga 2019, sebanyak 25,000 hektar telah diluluskan lesen untuk membalak di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Kedah tetapi HSK Ulu Muda tidak dibalakkan langsung.

3. Beliau turun sendiri ke Jerai melihat tempat bencana melihat pokok-pokok yang dibawa turun kepala air ini bersekali dengan akar-akarnya. ‘Air bawa akar’ menunjukkan tidak ada pembalakan di kawasan Jerai ini.

4. KeTSA melalui Jabatan Perhutanan memperuntukkan RM75 juta untuk program restorasi kawasan hutan terosot termasuk di Jerai ini. 

Secara jelas, fakta menunjukkan pembalakan bukanlah faktor kepada berlakunya bencana geologi tanah runtuh dan aliran puing di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu. Tidak ada pembalakan jadi mengapa YB Port Dickson mahu menyeleweng fakta tersebut?

Sebaiknya, atas semangat MoU yang ditandatangani bersama Kerajaan dan Pembangkang PH maka sepatutnya YB Ketua Pembangkang sendiri menunjukkan suri tauladan dengan bercakap menggunakan fakta bukan auta, hujah bukan fitnah.

Kajian oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menyatakan terdapat 2 faktor utama yang telah mempengaruhi kejadian bencana geologi Jerai;

a. Faktor penyumbang: keadaan geologi dan morfologi atau bentuk muka bumi di Gunung Jerai. Proses peluluhawaan batuan asal jenis kuarzit, syis dan granit menghasilkan tanah liat berpasir yang mudah terhakis apabila hujan lebat dan berterusan berlaku di samping permukaan cerun yang longgar dan tidak stabil. 

b. Faktor pencetus: Jumlah hujan yang banyak iaitu berterusan daripada 15 Ogos hingga 18 Ogos 2021. 

Rekod Stesen Hujan Gunung Jerai menunjukkan hujan lebat sehingga 275mm manakala Stesen Hujan Kampung Singkir Genting pula sebanyak 175mm dalam masa 2 jam sejak jam 1:00 tengah hari 18 Ogos 2021.

Kita juga wajar menasihati Anwar agar tidak hipokrit dalam isu alam sekitar ini kerana kita dapat lihat sendiri apa yang telah dan sedang berlaku di negeri bawah pentadbiran PH seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Apa pendirian Anwar terhadap Projek Tambak Laut yang akan memusnahkan ekosistem alam sekitar di negeri kelahirannya sendiri, Pulau Pinang? Anwar terus diam membisu walaupun kononnya hebat bertempik di Parlimen bukan?

Sumber – SYED AHMAD FADHLI

Tamat