Berkenaan isu Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik, pihak kerajaan mengambil keputusan untuk tidak mengemukakan sebarang rayuan di Mahkamah Tinggi Kuching.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ketika mengesahkan perkara itu berkata ia dipersetujui Jemaah Menteri menerusi mesyuarat yang diadakan pada 10 September lalu.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Persekutuan akan akur dengan segala keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dan merintis usaha terbaik bagi memastikan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik di negara ini berupaya dilaksanakan lebih awal daripada jadual asal.

“Saya sebenarnya sudah baca laporan yang berlaku di Kuching dan dapati bahawa dari sudut perundangan, tiada perbezaan pendirian antara Peguam Negara dan mahkamah, hanya yang tinggal memendekkan masa saja, sebab dalam program awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pelaksanaan dijangka menjelang September 2022.

“Tetapi hakim arahkan untuk siap pada 31 Disember 2021, justeru saya sudah bincang dengan SPR dan kita akan patuh kepada arahan mahkamah, malah Jemaah Menteri pada 10 September putuskan untuk tidak buat rayuan terhadap keputusan hakim,” katanya pada sesi pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Tamat