Sejak wabak pendamik COVID-19 melanda negara, seramai 4,596 kanak-kanak yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan kini bergelar yatim piatu.

Statistik daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menunjukkan sejak 13 September lalu, seramai 4,422 murid kehilangan ibu atau bapa atau penjaga, manakala 154 murid kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka.

Menterinya Pembagunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Seri Rina Mohd Harun, berkata keadaan itu menyebabkan kementerian berkenaan mengambil inisiatif melalui Tabung Bantuan Segera dan Bantuan Kanak-Kanak, memberi bantuan kewangan dan sokongan kepada murid berkenaan bagi meneruskan kehidupan.

Katanya, kerajaan ketika pengumuman Belanjawan 2021 pada 6 November 2020, bersetuju menaikkan kadar bantuan bulanan di bawah skim Bantuan Kanak-kanak dan Bantuan Pesakit Terlantar kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi kanak-kanak bawah tujuh tahun, mereka layak menerima RM200 seorang. Bagi kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas memperolehi bantuan sebanyak RM150 seorang. Buat kali pertama, kadar bantuan maksimum kanak-kanak dinaikkan daripada RM450 sekeluarga kepada RM1,000 sekeluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hannah Yeoh (PH-Segambut), Dato Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau), Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) dan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) mengenai isu yang sama di Dewan Rakyat, semalam.

Rina berkata, kerajaan juga menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada kanak-kanak yang menghadapi tekanan emosi akibat kehilangan ibu bapa atau penjaga, malah bantuan diberikan kepada anggota keluarga kanak-kanak yang memerlukan perkhidmatan itu.

Selain itu, katanya kanak-kanak boleh ditempatkan di institusi JKM jika tidak mempunyai waris atau saudara mara yang boleh menjaga mereka berdasarkan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.

“JKM akan mengambil perintah sementara di mahkamah dan menempatkan kanak-kanak bersama keluarga ganti atau mana-mana orang yang layak dan sesuai atau di institusi penjagaan kanak-kanak yang selamat.

“Sebanyak tujuh institusi JKM ditetapkan mengikut zon untuk jagaan dan perlindungan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

“Institusi berkenaan ialah Rumah Kanak-kanak (RKK) Pokok Sena, Kedah; Taman Seri Puteri (TSP) Batu Gajah, Perak; TSP Cheras, Selangor dan Rumah Budak Lelaki (RBL) Melaka; RKK Mini Kelantan; TSP Kota Kinabalu, Sabah dan TSP Kuching, Sarawak,” katanya.

Tamat