Pihak Polis Di Raja Malaysia, PDRM kini dalam proses bagi melengkapkan segala dokumen bagi mengekstradisi usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, atau Nur Sajat yang ditahan oleh pihak berkuasa Thailand pada 8 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri dan Pejabat Peguam Negara dalam usaha membawa pulang Nur Sajjad mengikut undang-undang negara dan antarabangsa.

“Nur Sajjad telah ditahan dan dituduh di bawah Akta Imigresen di Thailand tetapi dia telah memohon taraf pelarian di bawah Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian (UNHCR) di Thailand.

“Seperti mana yang dinyatakan oleh bekas ketua polis terdahulu, kes Nur Sajat ini bukan kes besar. Jadi kita nasihatkan dia untuk pulang dan menghadapi kes beliau,” katanya kepada media dalam sidang akhbar pada Selasa.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan usahawan kosmetik itu ditahan pihak berkuasa tempatan di Bangkok Thailand kerana memiliki pasport yang tidak sah.

Nur Sajat dikehendaki di Malaysia kerana menghalang penjawat awam dan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Satu waran tangkap turut dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 23 Februari lepas selepas usahawan kosmetik itu gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya.

Tamat