Sistem perdagangan karbon sebelum ini telahpun diwujudkan sejak empat tahun lalu, antara sebuah syarikat swasta dengan pihak kerajaan negeri Kelantan melibatkan kawasan hutan seluas 396,000 hektar namun ianya terhenti akibat faktor tertentu.



Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengakui bahawa syarikat kredit karbon pertama dari Malaysia berupaya diwujudkan, empat tahun lalu, namun mekanisme kerjasama ke arah berkenaan tidak dapat diteruskan.


Sehubungan itu, katanya, sebarang perdagangan karbon sepatutnya dibuat berteraskan mekanisme di peringkat negara, berbanding antara syarikat swasta dan kerajaan negeri, memandangkan Malaysia mempunyai komitmen tertentu dengan Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) yang perlu dicapai.

“Kita akui pada 2017, suatu perbincangan sudah diadakan dengan sebuah syarikat, tetapi perundangan kepada usaha berkenaan terhenti kerana beberapa perkara, justeru sebenarnya kita perlukan mekanisme di peringkat negara.

“Hal ini kerana kita ada komitmen yang perlu dijelaskan dengan UNFCCC, maka perlu bangunkan dulu sistem, supaya mana-mana pihak sama ada kerajaan negeri atau swasta kena melalui kementerian supaya setiap pelaporan memenuhi syarat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Tamat