Kadar pesakit COVID-19 di unit rawatan rapi ICU sebanyak 79.9, memerlukan Kedah bagi mendapatkan khidmat hospital medan daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membuka hospital medan untuk kapasiti katil ICU.

Perkara itu katanya akan diusulkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik Covid-19 Kebangsaan, esok.

“Kedah masih belum mencapai nilai ambang yang membolehkan beralih ke fasa dua PPN. Penggunaan katil di wad ICU untuk pesakit Covid-19 belum dapat diturunkan ke paras 70 peratus setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya lagi, realitinya, Kedah memilki jumlah katil ICU yang terhad iaitu hanya terdapat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan Hospital Kulim sahaja.

Berikutan itu jelasnya, hospital medan ATM boleh dibuka sama ada di Alor Setar, Sungai Petani atau Kulim mengikut keperluan dan kesesuaian logistik.

“Usaha ini adalah sebagai langkah kerajaan untuk membolehkan negeri ini segera beralih ke fasa dua PPN,” tambah beliau.

Sementara itu pada sidang media tengahari tadi, Sanusi mencadangkan agar pesakit Covid-19 yang sudah berada di wad ICU selama 28 hari dan berpotensikan sembuh dikeluarkan dari nilai ambang berkenaan.

Katanya pesakit berkenaan boleh dikeluarkan dari wad ICU kerana dalam tempoh 28 hari virus tersebut akan mati dan individu itu boleh dikategorikan ‘non Covid. 

Tamat