Dalam usaha mengekang sebarang penyebaran wabak COVID-19, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tanggungjawab menyediakan kit ujian pantas (RTK- Antigen) kepada semua sekolah di Malaysia.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kit ujian kendiri itu akan disediakan di sekolah berasrama penuh, sekolah asrama harian dan sekolah harian.

“Bagi sekolah berasrama penuh, ujian saringan akan dilaksanakan tiga kali iaitu ketika pendaftaran, hari keenam dan hari ke-14.

“Bagi sekolah asrama harian, ujian saringan akan dilaksanakan ketika pendaftaran masuk manakala bagi sekolah harian ia sebagai persediaan kalau diperlukan,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Menyentuh isu sama ada 2,100 guru dilaporkan enggan divaksin akan diambil tindakan, beliau berkata, ia bergantung kepada ketetapan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Walaupun guru yang enggan divaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka, katanya, mereka akan diberi tugas lain berdasarkan keadaan semasa sekolah.

“Guru adalah sebahagian daripada penjawat awam dan kita akan ikut pedoman diberikan JPA, bergantung kepada apa yang ditetapkan JPA.

“Kita akan meneliti satu persatu pendekatan terbaik untuk memberi tugasan kepada guru ini (enggan divaksin) berdasarkan keadaan semasa sekolah,” katanya.

Terdahulu, RSN Rayer (PH-Jelutong) mencelah dengan menggesa supaya kerajaan memberi jaminan tidak mengambil tindakan memberhentikan guru yang enggan divaksin.

Mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR), Radzi berkata, laporan data sejak 20 Januari hingga 30 Ogos lalu menunjukkan peratusan murid yang mengikuti kaedah pembelajaran itu meningkat di peringkat rendah dan menengah.

Katanya, peratusan murid sekolah rendah meningkat 12.1 peratus iaitu daripada 87.1 peratus kepada 99.2 peratus.

“Pembabitan murid sekolah menengah pula meningkat 19.3 peratus iaitu daripada 78.0 peratus kepada 97.3 peratus,” katanya.

Sementara itu, Radzi berkata, pemberian autonomi kepada sekolah bukan pendekatan bersesuaian berikutan ia berisiko menyebabkan institusi itu membuat keputusan di luar pelaksanaan dasar KPM.

Tamat