Sebagai usaha memudahkan rawatan Covid-19, satu Pasukan Petugas Tindak Balas Pantas Nasional ditubuhkan bagi bergerak ke negeri negeri yang mempunyai kadar peningkatan kes yang tinggi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata ia bagi mengelak kepenatan dalam kalangan petugas barisan hadapan berikutan beban kerja yang semakin bertambah akibat peningkatan kes.

Menerusi pasukan petugas itu, katanya, petugas kesihatan diarah ke negeri yang mengalami peningkatan kes COVID-19 iaitu Pulau Pinang dengan 223 petugas kesihatan, Kedah (156) dan Sabah (102).

“Apabila kita meningkatkan kapasiti sama ada katil modular unit rawatan rapi (ICU) atau hospital medan, ia memerlukan kerja tambahan dan saya sudah mengarahkan penubuhan Pasukan Petugas Tindak Balas Pantas Nasional.

“Kakitangan kesihatan ini akan bergilir ke negeri mengalami peningkatan kes bagi memastikan mereka tidak menghadapi kelesuan atau keadaan tidak terkawal akibat penambahan bebanan tugas,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching (PH-Kulai) sama ada kerajaan bercadang menambah bilangan kakitangan kesihatan susulan penambahan katil bagi rawatan COVID-19 di hospital.

Khairy berkata, sejumlah RM593 juta dibelanjakan KKM dalam tempoh dua tahun ini bagi peruntukan peralatan tambahan dalam rawatan COVID-19 termasuk penambahan katil ICU, ventilator dan kontena mayat.

Tamat