Capaian jalur lebar kini lebih canggih dan laju untuk kegunaan 10,214 buah sekolah sehingga mencapai kelajuan 30 hingga 100 Mbps.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata jumlah itu termasuk 141 sekolah pedalaman yang dibekalkan dengan talian Very Small Aperture Terminal (VSAT) berkelajuan 30 Mbps mulai Mac lalu.

“Dalam usaha memastikan capaian Internet di sekolah terus dipertingkatkan, Kementerian Pendidikan (KPM) bekerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi mengenal pasti pendekatan terbaik.

“Ini termasuk penyediaan rangkaian bersepadu KPM yang berlandaskan tiga prinsip utama iaitu bersesuaian dengan tujuan, kekal relevan pada masa hadapan dan penyelesaian yang holistik,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, rangkaian bersepadu KPM itu dijangka dapat dilaksanakan pada pertengahan tahun depan.

“Perancangan ini seiring dengan usaha kerajaan memastikan pembelajaran berteraskan teknologi dapat disediakan dalam pembangunan generasi pewaris negara yang berupaya mendepani revolusi perindustrian 4.0 (IR4.0),” katanya.

Menjawab soalan tambahan Idris mengenai isu kemampuan mendapatkan peranti serta kos data internet dalam kalangan pelajar luar bandar, beliau berkata, KPM menyedari kekangan dihadapi.

“Kita menyedari kekangan ini dan menyedarinya sejak awal lagi. Kita sudah memaklumkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan mengikut kesesuaian guru dan murid.

“Dalam konteks ini, KPM pada Februari lalu memperkenalkan Didik TV supaya yang tidak ada peranti dari jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam, akan ada rancangan berkaitan topik tertentu yang berkaitan dengan pembelajaran mereka,” katanya.

Beliau berkata, KPM turut bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk menggunakan fasiliti mereka di luar bandar.

“KKMM pula memperkenalkan pakej data lebih murah untuk anak-anak bersekolah,” katanya.

Tamat