Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebulat suara memohon kerajaan menyemak semula menyemak semula keputusan meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini, kata Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata parti itu juga sejak dahulu lagi membantah isu berkaitan judi yang dibuat sama ada secara terbuka ataupun dalaman malah menganggap keputusan meningkatkan kekerapan itu tidak berasas dan tidak rasional.

“PAS sudah nyatakan bantahan secara terbuka, dan bantahan secara dalaman oleh ahli kabinet PAS juga telah dibuat. Kita berharap pihak Kementerian Kewangan menyemak semula keputusan itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan kepada Usahawantani Al Falah di Pusat Khidmat DUN Panchor di Kota Bahru hari ini.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata beliau difahamkan keputusan itu sebenarnya dibuat di peringkat Kementerian Kewangan dan tidak dibawa ke kabinet.

“Kita (PAS) sebenarnya tidak boleh menyekat perkara itu daripada diputuskan sebab ia di bawah Kementerian Kewangan dan kita tidak boleh campur tangan.

“Kita sudahpun menjelaskan pendirian PAS sejak dahulu menentang apa sahaja perkara melibatkan judi.

“Bantahan sudahpun dibuat dan itu sahaja yang telah dilakukan setakat ini… lainlah kalau PAS berkuasa penuh dalam kerajaan,” katanya.

Tamat