BANTAH pelaksanaan Judi, itu pendirian Pemuda PAS, terhadap terhadap berkenaan cabutan khas judi sebanyak 22 kali setahun pada tahun ini berbanding hanya lapan kali tahun lepas untuk semua agensi nombor ramalan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Senator Ir Khairil Nizam Khirudin menegaskan, cabutan khas judi ini bukan jalan penyelesaian terbaik.

Tegas Khairil, pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan sebarang isu melibatkan judi.

Menurutnya, bantahan sama pernah disuarakan pihaknya sebelum ini pada 2 Januari 2021.

“Judi adalah haram di sisi Islam, selain akan menambah lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat. 

“Masih ada jalan lain yang boleh digunakan, tanpa perlu menambah kekerapan cabutan ini,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru katanya, Pemuda PAS menggesa Kementerian Kewangan untuk mengadakan pertemuan dengan pihaknya bagi membincangkan penyelesaian isu terbabit.

“Kami sedia untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi mencari jalan terbaik menambah pendapatan negara untuk tujuan mengekang wabak Covid-19, selain membentangkan solusi untuk mengawal dan mengurangkan aktiviti judi di negara ini,” katanya.

Di samping itu ujarnya, Pemuda PAS menuntut pihak kerajaan supaya lebih bersifat sensitif dan tidak berkompromi dalam isu judi yang terbukti membawa lebih banyak kerosakan dan masalah sosial. 

“Pada masa yang sama, pihak kami berbesar hati mengajak pimpinan-pimpinan negara, serta parti-parti lain dalam Pakatan Harapan, Perikatan Nasional mahupun Barisan Nasional untuk bersama-sama membanteras terus segala aktiviti perjudian di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pemuda PAS turut menzahirkan penghargaan terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar kerana membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Kata Khairil, teguran tersebut adalah tepat dan amat diperlukan, apatah lagi ia  adalah soal nahi mungkar kerana semua umat Islam bertanggungjawab bagi menyuarakan perkara tersebut tanpa mengira parti politik.

Tamat