Sekali lagi, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, kali ini membongkar tiga dokumen berkenaan transaksi wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah, yang membuatkan beberapa individu kini panas punggung.

Berdasarkan dokumen berkenaan pemindahan wang terbabit milik MBI Kedah ke akaun bank di luar negara yang berlaku sekitar tahun 2014, berjumlah RM 13 juta, sebanyak empat transaksi ke dalam akaun Barclays Bank.

“Terdapat empat slip bank, yang pertama sebanyak RM3.29 juta, slip bank kedua RM3.31 juta dan ketiga RM3.30 juta, manakala slip terakhir RM3.27 juta,” katanya pada sidang akhbar secara maya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ditangguhkan pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, butiran terperinci dokumen berkenaan tidak boleh didedahkan kerana ia sudah menjadi bahan bukti pihak berkuasa yang menjalankan siasatan berkaitan perkara itu.

“Saya tak boleh dedah terlalu banyak, kelak ganggu siasatan. Saya harap pihak berkuasa dapat jalankan siasatan secara adil dan telus dan jika berlaku pecah amanah atau salah guna kuasa termasuk apa sahaja yang menyalahi akta, tindakan perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terbukti perbuatan itu menyalahi perundangan.

“Saya juga harap wang itu dapat dikembalikan semula kepada MBI sekiranya berlaku transaksi yang tidak sah,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencabar beliau melaporkan perkara itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Sanusi berkata, dokumen berkenaan sudah diserahkan kepada SPRM.

“Mohon maaf, tidak. Saya sudah buat yang sepatutnya sebelum beliau cabar saya semalam. Saya harap dia pun tak akan ganggu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pembelian beg dan kuih raya mencecah RM1.3 juta yang turut didedahkan pada Selasa, Muhammad Sanusi berkata, beliau turut memiliki dokumen berkenaan dan ia bukan tuduhan tidak berasas.

“Dokumen itu ada, mungkin Mukhriz yang tak tahu sebab dia kata tidak perlu tahu semua perkara, serah kepada penasihat. Kalau kita tak ambil tahu semua perkara, ada penasihat buat kerja luar, jadilah ‘punah sihat’ menasihati perkara yang tidak betul,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan itu berbeza dengan dirinya yang mengambil tahu semua perkara dalam pentadbiran negeri bagi mengelak perkara seumpama itu berlaku.

“Setiap keputusan atau perbuatan sama ada peringkat pegawai hingga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dimaklum pada saya terlebih dahulu untuk dipertimbangkan seadilnya supaya selari dengan perundangan.

“Apabila tindakan tidak melalui proses perolehan yang betul akan menyebabkan kerugian, sebab itu pemimpin perlu ambil tahu tindakan pegawai bagi mengelak imej tercalar,” katanya.

Tamat