RM 11.1 juta dibayar oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada golongan pekerja tempatan dan asing yang dikesan positif COVID-19 akibat penularan di tempat kerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata bayaran itu adalah bagi 15,306 kes yang dilaporkan berlaku kepada PERKESO, setakat 18 September lalu.

Katanya, bayaran itu merangkumi pampasan berjumlah lebih RM10.1 juta kepada pekerja tempatan dan RM1 juta lagi kepada pekerja warga asing.

“Bagi faedah pengurusan jenazah membabitkan kes kematian akibat COVID-19 pula, jumlah bayarannya yang sudah dibuat adalah lebih RM3.5 juta bagi 1,792 kes pekerja tempatan.

“Bagi kes kematian pekerja asing pula, kita sudah membuat bayaran sebanyak RM3,500 untuk pengurusan jenazah membabitkan dua kes,” katanya selepas melakukan tinjauan Program Outreach Imunisasi COVID-19 Daerah Pendang di sini, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan turut menghadiri program anjuran Majlis Negara Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pendang berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai kadar vaksinasi yang masih rendah di Pendang, Awang berkata, ia berlaku akibat kebanyakan penduduk daerah itu sudah berusia dan kurang mendapat maklumat.

“Disebabkan itu, kita mengadakan program ini sebagai usaha meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk yang masih merekodkan peratusan rendah.

“Tahap vaksinasi dalam kalangan penduduk dewasa yang layak mendapat suntikan vaksin di daerah ini masih rendah iaitu pada kadar 51.16 peratus bersamaan 38,115 orang sehingga semalam,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata, berikutan itu agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia akan membantu mempercepatkan proses vaksinasi termasuk ke kampung bagi membantu orang ramai mendaftar dan mendapat suntikan.

Tamat