Transgender ataupun golongan mukhanntah dinasihatkan ubah Cara penampilan, supaya tidak kelihatan berbeza atau ganjil berbanding jemaah yang lain, kata Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.

Sehinggalah kini, pihak berkuasa negeri yang sedang meneliti kemungkinan untuk mengenakan larangan terhadap golongan terbabit daripada memasuki masjid, Wan Salim berkata pihaknya amat bersimpati dengan golongan tersebut kerana mereka memang ingin diterima oleh masyarakat.

Namun menurutnya, golongan tersebut juga haruslah berusaha menyesuaikan diri dengan budaya dan norma masyarakat tempatan di tempat mereka menjalani kehidupan.

“Jawatankuasa masjid yang dilantik oleh majlis agama Islam sesebuah negeri bertanggungjawab memastikan segala urusan berkaitan masjid dan kariah berjalan dengan lancar serta kondusif bagi para jemaah menunaikan ibadah.

“Kehadiran golongan mukhannath di masjid dengan penampilan diri mereka yang janggal sudah tentu tidak disenangi serta meresahkan jemaah lain.

“Untuk menyelesaikan kemelut ini, tiada jalan lain kecuali mereka mengubah cara penampilan ketika berada di tempat ibadah supaya tidak lagi kelihatan ganjil atau berbeza dengan jemaah lain,” katanya kepada pihak media.

Kelmarin Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan sedang meneliti untuk mengenakan larangan kepada transgender daripada memasuki masjid di Wilayah Persekutuan. 

Langkah itu – jika diluluskan – akan menjadikan Wilayah Persekutuan negeri kedua selepas Perlis melaksanakan larangan tersebut.

Ahmad Marzuk berkata tindakan Perlis mengenakan larangan berkenaan adalah wajar demi menjaga kesucian masjid dan menghindari kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Wan Salim berkata supaya golongan terbabit perlu menghormati kesucian rumah ibadah Islam dengan penampilan yang sesuai.

“Apabila bertembung kepentingan sebahagian kecil manusia dengan kepentingan umum maka Islam mengajar umatnya supaya mengutamakan kepentingan umum.

“Maka jika golongan mukhannath terus berdegil untuk menampilkan diri mereka secara tidak wajar maka pihak pengurusan masjid tiada pilihan kecuali bertegas menghalang mereka hadir di masjid.

“Terserah kepada golongan berkenaan untuk memilih apa yang mereka fikir baik untuk diri mereka sendiri,” katanya.

Jelas Wan Salim, golongan transgender yang memilih gaya hidup bertentangan dengan Islam dijangka berdepan dengan kesukaran terutamanya apabila berinteraksi dengan orang ramai.

Katanya mereka juga dianggap menzalimi diri sendiri apabila memilih cara dan gaya hidup yang bertentangan dengan hukum agama.

Tamat