Sittah Annur, Ketua Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir, mengistiharkan kembali ke jalan akidah, dan bertaubat menerusi majlis pengisytiharan Istitabah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada hari ini.

Sittah Annur, 39, atau nama sebenarnya Masitah Ab Jalar dijadualkan akan mengisytiharkan taubat menerusi majlis yang akan diadakan di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam masjid tersebut kira-kira jam 11 pagi ini.

Menerusi satu jemputan media yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan majlis akan dimulakan dengan bacaan doa oleh Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah disusuli tausiyyah oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan pengisytiharan taubat Sittah Annur.

Majlis akan turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Media sebelum ini melaporkan berkenaan seorang wanita yang dipercayai pemilik akaun Facebook Masitah Ab Jalar atau lebih dikenali sebagai Sittah Annur ditahan berhubung penglibatannya dalam ajaran sesat PMYT.

Suspek sebelum ini ditangkap dan direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Media.Bagaimanapun suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman terhadapnya tamat.

Tamat