3.6 juta penerima Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa Tiga termasuk rayuan bakal menerima manfaat daripada peruntukan sebanyak RM 2.82 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran itu termasuklah penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang telah diluluskan.

Menurutnya, bagi fasa tiga, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400 manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300.

“Ini termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pembayaran fasa tiga ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka.

“Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya nasib kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sentiasa terbela,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa bantuan tunai lain seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberikan kepada penerima yang layak dan akan disalurkan pada Oktober hingga Disember 2021.

Jelasnya, penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa Tiga ini akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

Tamat