Jentera Parti Islam Se-Malaysia PAS Perak sedia berdepan dengan sesiapa saja termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya Ketua pembangkang itu, mencuba nasib Di negeri berkenaan.

Hal ini disebabkan desas desus PKR Perak untuk menyatakan kesediaan mereka bagi menyediakan platform untuk Anwar Ibrahim untuk PRU – 15 nanti.

Setiausaha PAS negeri, Mohd Akmal Kamaruddin, berkata jentera pilihan raya partinya sudah bersiap sedia di semua peringkat.

“Jentera sudah siap sedia di semua peringkat, siapa sahaja calon lawan kita bersedia. Kalau Datuk Seri Anwar bertanding di Perak dan kebetulan di kawasan PAS, kita sedia lawan,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak.

Sabtu lalu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dilaporkan berkata, tawaran untuk Anwar bertanding di negeri ini pada PRU akan datang, dibuat dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri parti terbabit, baru-baru ini.

Katanya lagi, tawaran kepada Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebagai langkah untuk mengukuhkan PKR bagi menawan negeri ini kerana kehadiran nama besar seperti Anwar dilihat akan memudahkan misi berkenaan.

Mohd Akmal bagaimanapun menasihatkan PKR memberi tumpuan terhadap usaha memerangi pandemik COVID-19 terlebih dahulu berbanding politik pada ketika ini.

“Kita sekarang bekerja keras untuk program vaksinasi dan berusaha memutuskan penularan COVID-19 agar kita kembali seperti dulu.

“Jadi kita nasihatkan supaya berhenti sekejaplah politik ini, nanti nak dekat PRU baru kita umumkan siapa calon untuk lawan,” katanya.