Bumiputera tetap diberi jaminan melalui agenda pemerkasaan daripada Kerajaan melalui ekonomi dan penyelidikan, serta pembagunan pendidikan.

Perdana Menteri, Ismail Sabri berkata, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) hari ini berkata, hasrat kerajaan adalah untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih adil, saksama dan inklusif selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, agenda itu akan diterap dalam pelaksanaan semua dasar di segenap peringkat melalui pembabitan semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan sektor swasta.

“Bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam aktiviti ekonomi, akses dan peluang pendidikan serta pembangunan modal insan termasuk huffaz akan diperkukuh.

“Antaranya melalui inisiatif latihan dalam bidang teknikal dan profesional supaya menjadi pakar dalam pelbagai bidang, selain kemahiran untuk kerjasama masa depan seperti penganalisis dan saintis data serta pakar data raya,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, daya tahan dan kemampanan perniagaan Bumiputera akan dipertingkat bagi mencapai sasaran 15 peratus sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.

Beliau berkata, pencapaian itu akan disokong melalui penyediaan pembiayaan dan pelaksanaan program baharu.

“Program berkenaan termasuk Dana Kemakmuran Bumiputera untuk syarikat Bumiputera; Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk kontraktor Bumiputera; penyertaan lebih ramai usahawan Bumiputera menceburi bidang ekonomi digital serta industri yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi,” katanya.

Bagi meningkatkan kekayaan Bumiputera, dasar dan pelaksanaan kuota pemilikan kediaman Bumiputera, katanya, ia akan diperkukuh melalui kerjasama lebih erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tambahnya, bantuan kewangan, bimbingan dan permentoran oleh institusi kewangan juga akan diperluas bagi menyokong usahawan Bumiputera.

Tamat