Jabatan Alam Sekitar (JAS) memberi respons projek penambakan laut di Kuala Nerus dibatalkan selepas melihat risiko kepada alam sekitar.

Menurut JAS berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Teknikal EIA
(EIATRC) yang dianggotai oleh agensi persekutuan, agensi negeri, pakar
individu yang dilantik dan badan bukan kerajaan telah memutuskan Laporan EIA
tersebut tidak diluluskan.

“Laporan EIA projek tersebut tidak mengikut rancangan pemajuan atau
rancangan fizikal yang diluluskan oleh pihak berkuasa yang meluluskan
sebagaimana Seksyen 34A(4)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan
tidak memenuhi garis panduan yang ditetapkan bagi penilaian impak dan
langkah mitigasi yang dicadangkan sebagaimana kehendak di bawah Seksyen
34A(2C) akta yang sama.

“Untuk makluman, JAS telah menerima Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam
Sekeliling (EIA) bertajuk Proposed Reclamation And Capital Dredging For The
Sunrise City Mixed Development At Mukim Kuala Nerus, District Of Kuala Nerus,
Terengganu, Malaysia pada 30 Ogos 2019.

“Pameran awam untuk laporan EIA bagi projek tersebut juga telah dilaksanakan
bermula dari 17 September 2019 sehingga 16 Oktober 2019,” katanya semalam.

Walaubagaimanapun projek berkenaan baru diperingkat cadangan dan selepas melihat kepada kesannya ianya dibatalkan.

“Cadangan projek tersebut melibatkan kerja-kerja penyediaan tanah (pembinaan
pemecah ombak, penambakan dan penggorekan induk) untuk pembangunan
projek “Sunrise City”.

“Sunrise City” merupakan pembangunan bercampur yang mengandungi
kediaman, pelancongan, kemudahan-kemudahan awam (termasuk pantai-pantai
awam dan kawasan rekreasi) dan hub budaya dan hub makanan untuk komuniti
tempatan.

Jawapan ini adalah merujuk kepada hantaran di laman Facebook Persatuan Aktivis Sahabat Alam – KUASA
bertajuk ‘Satu Lagi Projek Penambakan Laut akan Berlaku di Terengganu’ pada
20 September 2021.

Sementara itu, sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali turut menyatakan bantahan berkenaan projek tersebut kerana bimbang kerosakan ekosistem dan pendapatan nelayan.

Menurutnya berbagai kajian perlu dilakukan terutamanya berkenaan kesan kerosakan alam sekitar dan kajian risiko sekiranya projek berkenaan diluluskan.

Pada masa yang sama, kajian sosio ekonomi turut dilakukan bagi memastikan rakyat yang bekerja sebagai nelayan pantai tidak terkesan dengan sebarang pembagunan.

Pihak kerajaan negeri amat peka, dengan setiap hal berkenaan rakyat tempatan, punca mata pencarian serta kelestarian alam.

Tamat