Memandangkan keadaan pendemik ini memakan masa lebih dua tahun, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyeru supaya pihak kerajaan mengambil iktibar apabila rakyat kehilangan aset dan tabungan sepanjang tempoh berkenaan.

Dr Khairuddin menggesa kerajaan untuk mewujudkan sistem tabungan rakyat yang boleh digunakan ketika krisis seperti pandemik Covid-19 sekarang.

Sebelum ini rakyat kini hanya mempunyai dua sistem tabungan, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bagaimanapun, katanya pandemik Covid-19 menyebabkan sebahagian rakyat terpaksa menggunakan simpanan KWSP yang sepatutnya hanya digunakan pada usia tua.

Beliau mencadangkan Tabung Haji yang perlu diperkasakan sepenuhnya dan bukan sahaja simpanan untuk waktu tua, tetapi boleh digunakan ketika krisis.

“Dengan tabungan yang besar milik negara, digunakan dalam program pelaburan yang terjamin dan berisiko rendah, maka rakyat boleh mendapat dividen besar, sehingga mungkin mencapai 10 peratus,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mohd Khairuddin yakin jika tabungan itu diwujudkan dan disusun semula oleh kerajaan, rakyat akan mempunyai satu lagi bentuk tabungan simpanan yang boleh digunakan ketika berhadapan sebarang krisis.

Menurutnya beliau meminta kerajaan meneliti cadangan ini dengan serius untuk memperkasakan sistem tabungan rakyat bagi menghadapi perkara yang berlaku seperti hari ini.

Sementara itu, Dr Mohd Khairuddin mencadangkan kerajaan supaya memperkasakan sistem waqaf yang sepatutnya menjadi sumber pendanaan untuk pembangunan rakyat.

Katanya, walaupun di Malaysia terdapat Yayasan Waqaf Malaysia, tetapi jumlah kutipan yang dikumpul masih kecil dan perkara ini perlu diberi perhatian.

Tamat