Akibat hujan lebat berterusan, 10 pusat pemindahan sementara (PPS) terpaksa dibuka bagi dijadikan tempat berlindung oleh 228 mangsa di Sik dan Padang Terap.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, lapan PPS dibuka di daerah Baling, selain satu di Sik dan terbaharu satu pusat pemindahan di Padang Terap.

“Setakat jam 10 malam, antara PPS dibuka di Baling termasuk PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gantung yang menempatkan mangsa paling ramai iaitu seramai 44 mangsa daripada 11 keluarga.

“Selebihnya 30 mangsa ditempatkan di PPS Maktab Mahmud Baling, diikuti SK Siong (28 mangsa), SK Bayu (25 mangsa), SK Tanjung Pari (23 mangsa), Dewan Banggol Derom (17 mangsa), PPS SK Bandar (sembilan mangsa) dan SK Tunku Putera (lapan mangsa).

“Bagi daerah Sik, seramai 10 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS SK Gulau dan 35 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di SK Bukit Tampoi di Padang Terap,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shafaril Ismail berkata, Kampung Pokok Machang di Padang Temak dilanda banjir kilat selepas hujan lebat sejak jam 6 petang.

“Hujan lebat mengakibatkan sesetengah kawasan yang mempunyai permukaan rendah dinaiki air dan limpahan air sungai Padang Terap menyebabkan kawasan berhampiran di Kampung Pokok Machang mengalami banjir,” katanya.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff pula berkata, ketika ini hujan berterusan di daerah Pendang.

Tamat