Setiap jemaah menteri diberikan masa 100 untuk membuktikan pencapaian mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, prestasi aspirasi setiap Jemaah Menteri bagi 100 hari pertama di bawah pentadbiran kerajaan dinilai berdasarkan tiga elemen utama.

Menurutnya tiga elemen berkenaan adalah penilaian prestasi kementerian dan jabatan; penilaian kepemimpinan berdasarkan keberkesanan keberhasilan inisiatif serta penilaian persepsi awam terhadap Ahli Jemaah Menteri dan kementerian serta jabatan di bawah tanggungjawab mereka.

“Ahli Jemaah Menteri juga diarah mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari ini kepada rakyat, bagi menilai pencapaian prestasi menteri dan kementerian demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri ketika mengumumkan pelantikan anggota Kabinet 27 Ogos lalu menetapkan setiap menteri perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama perkhidmatan.

Perdana Menteri mengangkat sumpah jawatan pada pada 21 Ogos lalu dan mengumumkan senarai Kabinet yang merangkumi 31 menteri dan 38 timbalan menteri, seminggu selepas itu.

Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 September lalu bersetuju supaya anggota Jemaah Menteri membentangkan laporan prestasi setiap aspirasi masing-masing bagi 100 hari pertama pentadbiran Kerajaan mulai dari 1 September.

Katanya, pelaksanaan inisiatif bagi setiap aspirasi adalah berlandaskan enam teras utama.

Teras itu adalah menstruktur semula ekonomi; menjamin keselamatan dan ketenteraman negara; meningkatkan kesejahteraan sosial; mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh; memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia dan memperkasa penyampaian perkhidmatan

“Dalam hal ini, Pejabat Ketua Setiausaha Negara, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) akan bertindak sebagai penyelaras bersama bagi memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan setiap aspirasi Keluarga Malaysia oleh Ahli Jemaah Menteri dapat dijayakan dengan cemerlang.

“Pada 24 September dan 29 September 2021 beliau mengadakan sesi bersama semua 31 Ahli Jemaah Menteri untuk memuktamadkan senarai aspirasi yang telah dicadangkan,” katanya.

Tamat