Sebenarnya isu viral rusuhan tokong di sekitar Salak Selatan, kelmarin boleh diselesaikan secara baik dan berhemah sekiranya individu terlibat mempunyai penghayatan terhadap undang-undang.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Azhar Yahya berkata, dengan tindakan kasar dan ganas terhadap penjawat awam yang menjalankan tugas sebenarnya memgakibatkan imej pengurusan tokong berkenaan tercalar.

Seharusnya kumpulan yang merusuh sepatutnya berbincang terlebih dahulu dan bertolak ansur.

“Kami difahamkan tokong tersebut tidak didirikan di atas tanah milik mereka. Berdasar maklumat permohonan tanah yang dikemukakan semenjak tahun 2017 tidak diluluskan memandangkan pihak kerajaan mempunyai perancangan untuk pembangunan pusat pendidikan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Muhammad Idzam Jaafar dalam kenyataaannya kelmarin, menafikan rusuhan di Salak Selatan berpunca daripada tindakan untuk merobohkan sebuah tokong  di lokasi kejadian.

Sebaliknya, kejadian yang berlaku pada jam 11.45 pagi hingga 4 petang itu ketika kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) membuat operasi untuk membina pagar penghadang bagi membina jalan laluan ke sekolah yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

Dalam operasi berkenaan, anggota Polis IPD Cheras hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan.

Bagaimanapun kira-kira 30 lelaki dan perempuan berbangsa Cina datang ke lokasi kejadian dengan membawa kayu dan besi. 

Tamat