Gagal pembinaan terowong dasar laut empat tahun lalu, kini kerajaan DAP Pulau Pinang datang pula dengan idea mistik baru mewujudkan jambatan ketiga di negeri tersebut.

Alasanya mudah, mahu menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas di bahagian pulau negeri itu katanya.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) atau Penang Transport Master Plan (PTMB) dilihat celaru dan tidak tentu hala.

Kata beliau nampaknya objektif mereka semakin kabur sedangkan duit rakyat dibazirkan menerusi projek kajian pembinaan terowong dasar laut.

“Kajian pembinaan terowong dasar laut melibatkan kos yang besar kira-kira RM305 juta, tetapi ia dilihat hilang begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dilapor berkata, tidak menolak kemungkinan akan membina jambatan ketiga bagi menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar sebagai menggantikan terowong dasar laut.

Muhammad Fauzi berkata, tanah milik kerajaan negeri dijadikan sebahagian daripada pembayaran kos kajian secara “exchange land’ atau “land swapping” dianggap terlepas kepada Zenith Consortium (ZNC).

“Pembayaran telah dibuat, namun projek terowong gagal dan sekarang mahu pula dialihkan kepada pembinaan jambatan ketiga.

“Persoalannya adakah selepas terowong dasar laut itu satu lagi retorik dicipta untuk mengaut duit rakyat. Kepimpinan mereka dilihat seperti menjadi broker untuk mencapai tujuan tersebut,” katanya.

Pada Ahad lepas, Gerakan Pulau Pinang turut mendesak kerajaan negeri menjelaskan beberapa perkara yang mengelirukan berhubung projek tersebut.

Malah Pulau Pinang sudah mempunyai dua jambatan iaitu Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. 

Tamat