Pihak kerajaan akan membuat kajian menyeluruh berkenaan kadar pencen perkhidmatan awam bagi memastikan ianya melepasi kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata kadar PGK kini sebanyak RM2,208 menyebabkan sesetengah pesara menerima pencen lebih rendah dari PGK berikutan kadar pencen paling rendah ialah kira-kira RM1,000.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membuat satu kajian yang akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, sebelum dibuat memorandum kepada Kabinet.

“Kajian itu untuk melihat kembali, sama ada penjawat awam selesa setelah mereka bersara,” katanya menjawab soalan P Kasthuriraani (DAP-Batu Kawan) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ini berikutan penjelasan kerajaan berhubung tindakan untuk mengatasi isu pesara yang terpaksa bekerja walaupun menerima pencen.

Bagaimanapun, katanya kerajaan telah melaksanakan kenaikan pencen sebanyak dua peratus setiap tahun mulai pada 1 Januari 2013.

“Kenaikan pencen tahunan ini diharapkan dapat membantu pesara menampung kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan harga barangan.

“Sebarang langkah pembaharuan yang melibatkan kewangan perlu dikaji dan diteliti oleh kerajaan bagi mengoptimumkan kewangan kerajaan dan memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terjamin,” katanya.

Tamat