Isteri ditinggalkan langsung oleh suami tanpa memperuntukkan sebarang nafkah adalah menjadi kebiasaan pada hari ini. Walaupun kelihatan sedih dan dukacita,namun itulah fakta dan hakikat yang berlaku.

Sahabat pembaca, perbuatan suami yang meninggalkan langsung si isteri tanpa apa-apa perkhabaran dan tanpa sebarang peruntukkan nafkah untuk sekian tempoh boleh disabitkan sebagai suatu pelanggaran taklik.

Apa itu taklik?

Taklik ialah lafaz talak berbentuk perjanjian/syarat yang dibuat oleh si suami. Pengamalan lafaz taklik di negara kita adalah terbahagi kepada dua iaitu:

1. Lafaz talak taklik Rasmi – Yang lazim dibaca oleh suami selepas akad nikah;

2. Lafaz talak taklik tambahan – Lafaz talak bersyarat yang dilafazkan oleh pihak suami selain daripada yang dilafaz selepas akad nikah contohnya “Jika aku berlaku curang selepas ini, maka aku talakkan kau”, “jika engkau keluar rumah, maka tertalak” dan lain-lain..

Perjanjian taklik ini membenarkan suami menyandarkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat yang akan berlaku pada masa hadapan.

Jika perlanggaran taklik Rasmi iaitu yang dibaca selepas akad nikah, telah dibuat oleh suami, maka isteri boleh menuntut perceraian dengan pihak mahkamah di bawah perceraian secara taklik. Seterusnya, siasatan akan dibuat oleh pihak mahkamah dalam sesi perbicaraan. Hal ini bertepatan dengan peruntukkan dalam Seksyen 50 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984.

Kes seperti ini perlulah dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk dijelaskan dengan lebih terperinci kedudukan perlanggaran syarat taklik atau sebaliknya. Selain itu, ianya juga bergantung kepada keredhaan si isteri yang tidak mendapat nafkah untuk bertahan dengan keadaannya seperti itu. Selagi isteri tidak mengadu kepada pihak mahkamah bahawa suaminya meninggalkannya tanpa nafkah, maka tiada perceraian yang berlaku secara automatik.

Manakala bagi talak taklik tambahan, adalah menjadi isu pada waktu kini dimana terdapat banyak persoalan yang timbul berkaitan dengan lafaz taklik yang dibuat selain daripada yang direkodkan pada sijil nikah .Contoh yang hangat diisukan kini adalah lafaz yang berbunyi “KALAU AWAK AMBIL VAKSIN MAKA TERTALAK!”.

Saya merujuk kepada beberapa artikel serta kitab Fiqh Manhaji, Mughni Muhtaj dan Fiqh Islamiwaadillatuhu berkenaan taklik. Antara bentuk / jenis talak taklik ialah:

Talak taklik dengan syarat
Talak taklik dengan masa
Talak taklik dengan lafaz ” in shaa Allah”
Talak taklik dengan perkara mustahil

Untuk mensabitkan talak itu jatuh atau tidak, banyak perkara perlu diteliti, antaranya ialah: 1. adakah pernikahan itu wujud dan sah?, 2. keadaan suami ketika lafaz (ambil kira aspek kewarasan akal, paksaan, ugutan), 3. kepada siapa ditujukan lafaz tersebut terutama jika ada ramai isteri, 4. perlu diperjelas vaksin apa yang dimaksudkan sebab orang hamil pun ada ambil vaksin lain juga. Seterusnya adalah niat dari lafaz yang dimaksudkan tersebut serta lain lain perkara yang berkaitan.

Dalam konteks undang-undang di negara kita, orang yang paling Arif dan berkelayakan untuk mensabitkan perceraian ini bukan lah pihak-pihak, bukan orang awam, bukanlah Peguam. Yang layak ialah Hakim di Mahkamah Syariah. Setiap keputusan yang Mahkamah putuskan ada kewajaran. Ia tidak di buat berdasarkan andaian.

Jadi apa maksud atau hikmah disebalik taklik ini?

  1. Mendidik isteri: Seperti suami melafazkan talak taklik kepada
    isterinya yang sering keluar rumah tanpa izin suami walaupun
    telah diberikan peringatan agar tidak mengulangi perbuatannya itu.
  2. Memelihara hak dan kebajikan isteri: Seperti isteri meminta
    kepada suami melafazkan talak taklik agar tidak memukulnya atau meninggalkannya tanpa nafkah dan sebagainya, agar menjadikan suami lebih bertanggungjawab terhadap isteri.
  3. Meyakinkan isteri: Kadang-kadang suami melafazkan talak taklik bagi mendapatkan keyakinan isteri bahawa dia tidak akan mengulangi tabiat buruk yang pernah dilakukan sebelum ini seperti berjudi dan sebagainya.

Sebagai penggulungan, saya ingin menegaskan disini bahawa, dalam mensabitkan apa-apa lafaz talak atau taklik, Mahkamah Syariah juga berpegang pada prinsip mengekalkan ikatan perkahwinan selagi ada ruang yang membenarkannya. Sesuai dengan kaedah fiqh “Prinsip asal ialah mengekalkan perkahwinan”

Adapun begitu, prinsip tersebut bukan bermaksud supaya orang ramai boleh mengambil mudah isu talak. Jelas sabda Rasulullah S.a.w : “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak). [Riwayat Abu Daud (2194)].

WALLAHU A’LAM, sekian terima kasih.