“Kita semua sayangkan perpaduan umat ini kerana ia merupakan kunci kejayaan membina negara ini berasaskan panduan al-Quran dan al-Sunnah,” itu kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata hanya melalui penyatuan Islam negara mampu mempunyai kesatuan serta kekuatan ummah yang jitu.

“Kekuatan Islam di era pembinaan negara Islam Madinah di zaman Rasulullah SAW dibina di atas kekuatan perpaduan ummah antara Aus dan Khazraj yang digabungkan dengan gelaran Ansar dengan Muhajirin dari Mekah.

“Membina perpaduan penuh ranjau dan duri sementara syaitan-syaitan pengadu domba berkeliaran keliling kelalang, bergayut di bawah jubah dan baju kebangsaan membisikkan agenda perpecahan.

“Menghancurkan perpaduan sangat mudah kerana ia tidak memerlukan kecerdikan, ” katanya melalui satu posting di laman Facebook rasmi beliau.

Dr Khairuddin berkata, dalam usaha membina perpaduan memerlukan kesungguhan, usaha, daya dan upaya yang besar serta pengorbanan jiwa dan perasaan.

“Para pendakwah perpaduan adalah doktor yang sedang merawat penyakit hati umat yang sedang berpecah dan hendaklah bersabar dengan kerenah pesakit.

“Usah terpedaya dengan bisikan bahawa kita sudah kuat tidak memerlukan rakan untuk saling memperkuatkan.

“Bukannya ketamakan, Yang akhirnya menjadi punca utama kerugian besar penuh penyesalan di hari mendatang,” katanya.

Beliau menyeru supaya semua dapat terus bersabar menjuarai usaha perpaduan yang wajib pada syarak dan bukannya sunat.

Tamat