Program Vaksinasi Nelayan AiVAC MAFI peringkat Parlimen Pasir Puteh telah diadakan di Perkarangan Pusat Khidmat DUN Semerak semalam.

YB Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) turut hadir meninjau proses Vaksinasi AiVAC pusat khidmat tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Nik Zawawi ketika ditanya mengenai vaksinasi melibatkan pemain industri agromakanan dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sendiri, beliau memberitahu, sehingga kini kementerian itu sudah mencapai sasaran sebagaimana yang kerajaan tetapkan melibatkan sektor berkenaan.

Katanya, walaupun ada antara penggerak industri berkenaan yang bersikap antivaksin, namun ia adalah sangat terpencil berbanding sebelum ini.

“Kita tidak nafikan ada yang antivaksin namun ia terpencil. Kita ambil pelbagai pendekatan dan beri nasihat, berdialog dengan mereka supaya mereka faham. Saya sendiri pun jumpa beberapa orang antara mereka. Kita tanya dan kita berikan fakta sahih. Alhamdulilah mereka terima dengan baik.

“Cuma kadang-kadang rakyat kita ini tidak mendapat info yang baik, bukan kerana info tidak datang dari kerajaan. Namun mereka yang tidak bergaul dengan orang, tidak berkawan dan jauh dari segala maklumat, tapi jumlah (anti vaksin) ini sikit saja,” katanya.

Turut hadir mengiringi YB Tuan Haji Wan Hassan Wan Ibrahim, ADUN Semerak, YBhg Datuk Badrul Hisham Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI dan YBrs Tuan Haji Yusoff Othman, Ketua Pengarah LKIM.