Sosio ekonomi umat Islam perlu untuk ditingkatkan susulan terkesan daripada pendemik COVID-19 dua tahun yang lalu.

Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Idris Ahmad berkata, segala perkara berkaitan usaha membantu ekonomi umat Islam berada dalam Inisiatif Mantap dengan memastikan mereka sekurang-kurangnya mempunyai keperluan asas dan makanan harian.

“Saya melihat terdapat keperluan untuk membawa pendekatan Ibn Khaldun dalam melaksanakan Inisiatif ke-5 Mantap.

“Ibn Khaldun berpandangan kekuatan ekonomi ummah amat penting demi kelangsungan hidup sesebuah negara.

“Tokoh itu melihat kekuatan ekonomi berdasarkan sektor pertanian, kesenian dan perdagangan. Selain itu menekankan keperluan pembangunan ekonomi ummah melalui pembentukan kemahiran pelbagai bidang,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya hari ini.

Baru-baru ini ketika ucapan sulung Idris menggariskan lima strategi dikenali sebagai ‘Inisiatif Mantap’ yang memberi fokus pelaksanaan dasar dan program ke arah membawa keluar Keluarga Malaysia daripada kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya juga beliau akan membawa pendekatan pengagihan hasil ekonomi yang adil dan saksama sehingga keseimbangan ekonomi ummah mampu dicapai.

“Saya percaya pendekatan ini merupakan jalan keluar kepada pemulihan sosio-ekonomi ummah dengan mengambil semangat Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera.

“Ia sebagai asas kepada pembentukan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum, agama, jantina, fahaman politik dan sebagainya,” kata beliau.

Beliau juga berkata, hasil dapatan pemerhatiannya di lapangan selepas berlaku Covid-19, didapati ramai anggota masyarakat memerlukan bantuan sama ada dalam bentuk kewangan atau barang keperluan harian.

Oleh itu katanya perlu ada satu pendekatan yang luar biasa untuk dilakukan agar dapat meringankan beban umat Islam di Malaysia.

Menurutnya juga semua agensi Hal Ehwal Islam khususnya menjaga sosio-ekonomi ummah akan bekerja dalam satu kerangka yang ditetapkan melalui Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 (PIAGAM C-19).

“Ia untuk memastikan pengagihan hasil ekonomi ummah yang adil dan saksama sehingga akhirnya tercapai keseimbangan ekonomi ummah dengan penerapan semangat Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera,” tambahnya.

Agensi terbabit antaranya Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Lembaga Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Tamat