“Golongan antivaksin perlu fikirkan berkenaan ummah, bukan berkeras pertatahankan pendirian tanpa asas” itu kata Timbalan Menteri Agama, Datuk Ahmad Marzuk Shaary kelmarin.

Katanya, di Kelantan, program vaksinasi masih berjalan dengan 94 peratus individu dewasa sudah mendapat dos yang pertama.

Walau bagaimanapun, ujarnya masih ada 38,000 orang yang belum dan tidak mengambil vaksin.

Daripada jumlah tersebut, kata beliau ada di antara mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan berpenyakit, dan ada pula yang memang tidak mahu divaksin., daripada jumlah tersebut, 9,000 orang telah dikenal pasti sebagai golongan yang benar-benar menolak vaksin.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 9,000 orang telah dikenal pasti sebagai golongan yang benar-benar menolak vaksin.

“Mereka mempunyai alasan-alasan yang tersendiri walaupun tiada sebarang penyakit, tetapi mereka enggan digelar sebagai ‘antivaksin’,” ujarnya menerusi laman Facebook, semalam.

Beliau berkata, pendirian-pendirian sebegitu sebenarnya bukan sahaja tidak tepat, malah ia turut membahayakan nyawa mereka sendiri.

“Benar, kerajaan tidak boleh memaksa mereka untuk mengambil vaksin. Tetapi jika mereka berfikir dengan pertimbangan akal yang waras, pasti mereka sedar lebih banyak kebaikan dari keburukan vaksin, terutama dari segi maslahat awam,” katanya lagi.

Menurut beliau, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI pada 3 Disember 2020 telah menetapkan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus, serta wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

“Fatwa ini juga telah diterima dan digunapakai di semua negeri di Malaysia. Dengan keputusan Jawatankuasa Muzakarah ini, seharusnya tiada lagi keraguan dalam minda masyarakat untuk mengambil vaksin,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Beliau menambah, masyarakat seharusnya menghormati dan mengiktiraf kelayakan para ashabus samahah mufti-mufti, serta pakar-pakar dan ahli akademik yang terlibat dalam bidang fatwa dan hukum, dan membuat keputusan secara kolektif.

Ini katanya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Nahl: 43)

Justeru, kata beliau, hentikan segala syak dan wasangka dalam mengambil vaksin Covid-19 dan patuhi arahan kerajaan dan ambillah vaksin.

“Ini bukan soal peribadi kita sahaja, tapi ini juga soal anak-anak kita, keluarga kita, jiran terdekat kita, serta seluruh Keluarga Malaysia. Lindung diri, lindung semua,” katanya.

Tamat