Membawa kesatuan Islam, Melayu, dan Tanah Air, A, Ba, Ta, rata-rata menyebut perkataan yang sama, semuanya menuju matlamat tetapi kelihatan berbeza jalannya.

Dilihat berlaku khilaf perjalanan ini, kerana wujudnya musang berbulu ayam mengoyak perpaduan dan mencarik kesatuan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, perjuangan tersebut telah dimulakan oleh pihak terdahulu dengan melalui pelbagai kesukaran dan kepayahan sehingga dinikmati kemenangannya oleh pihak terkemudian.

“Rakyat Melayu Islam mahu melihat semua pimpinan mereka sehati sejiwa memimpin mereka. Mereka tidak mahu lagi melihat perpecahan umat sehingga membuka ruang kepada golongan tidak mesra Islam memerintah negara.

“Sangat malang jika ada pemimpin masih mabukkan kuasa untuk kepentingan kelompok sendiri sehingga menolak perpaduan besar umat. Lihatlah tangisan kegembiraan rakyat marhaen apabila melihat kesatuan umat ini” katanya melalui satu cetusan minda di laman Facebook beliau.

Menurutnya, adalahmenjadi kewajipan buat pendukung PAS untuk mengisi kemenangan dengan ilmu pengetahuan, akhlak perjuangan serta jiwa dan semangat perjuangan yang penuh dengan kesabaran dan pengorbanan.

“Kesabaran menjadi senjata untuk berhadapan dengan kesukaran mengisi kemenangan dan cabaran mendidik kemahuan, serta berhadapan dengan nikmat kebendaan yang mungkin terbentang,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurutnya lagi, pengorbanan masa, tenaga dan harta sentiasa dituntut sebagai agenda perjuangan berdasarkan kemampuan dan kedudukan masing-masing dalam perjuangan kerana matlamat akhirnya ialah mencari keredhaan Allah.

“Sesiapa yang melencong dari garis perjuangan ini akan terpinggir. Sesiapa yang istiqamah pasti berjaya sampai ke akhirnya,” ujarnya.

Tamat