KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh dalam tempoh terdekat disokong krisis bekalan tenaga di China, pengeluaran rendah dan harga minyak mentah yang tinggi yang memacu kontrak hadapan MSM terutama bulan paling aktif berlegar pada paras tertinggi RM5,000 satu tan.

Kontrak bulan aktif MSM di Bursa Malaysia Derivatives bagi Oktober 2021 dibuka pada paras RM5,019 satu tan hari ini selepas mencecah paras tertinggi RM5,000 satu tan pada sesi dagangan Selasa, sebelum ditutup pada paras RM4,975 satu tan.

Manakala, kontrak penanda aras Disember 2021 meneruskan peningkatan dengan dibuka pada paras tertinggi RM4,816 satu tan selepas ditutup pada paras tertinggi, RM4,738 satu tan pada Selasa.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Sathia Varqa, berkata kontrak niaga hadapan mencatatkan paras rekod tertinggi bagi kontrak bulan paling aktif dan ini kali ketiga ia mencatatkan harga tinggi sejak 12 Mei, sekali gus mencerminkan sentimen pasaran yang meningkat berikutan asas sawit dan sokongan luaran.

Beliau berkata, perkembangan itu menyaksikan MSM mengekalkan momentum peningkatannya pagi ini apabila mencecah satu lagi rekod harga tinggi baharu.

“Lonjakan harga minyak mentah Brent melebihi AS$80 setong berikutan keputusan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan Sekutu (OPEC+) untuk kekal dengan rancangannya bagi mengeluarkan hanya 400,000 tong minyak sehari mengejutkan pasaran ketika bekalan gas terhad di tengah-tengah pemulihan permintaan.

“Keadaan dinamik ini mendorong MSM untuk didagangkan lebih tinggi,” katanya kepada BH.

Varqa berkata, harga sawit akan menyaksikan keadaan pembetulan ketika bekalan bertambah baik pada suku kedua 2022.

Beliau berkata, buat masa ini, pasaran harus bersedia dengan kenaikan harga minyak boleh dimakan yang menyebabkan lonjakan inflasi harga makanan.

“Ia bukan hanya sawit, tetapi semua minyak boleh dimakan didagangkan pada paras tinggi dalam sejarah. Kekurangan bekalan di tengah-tengah pemulihan permintaan di kompleks komoditi mendorong kenaikan harga,” katanya.

Peniaga Sawit, David Ng, pula berkata harga MSM dijangka kekal kukuh dalam tempoh terdekat berikutan krisis bekalan tenaga di China memacu permintaan terhadap sawit sebagai alternatif dan harga minyak mentah yang tinggi mendorong penggunaan minyak sawit untuk bahan api bio.

“Terdapat kemungkinan yang kukuh bahawa harga (kontrak penanda aras MSM) mungkin mencapai RM5,000 satu tan dalam tempoh terdekat berikutan pengeluaran lemah dan situasi stok rendah di negara ini.

“Kami jangka harga (penanda aras MSM) mungkin menguji paras RM4,850 satu tan dalam tempoh terdekat sebelum berpotensi menguji paras RM5,000 satu tan,” katanya.

Sementara itu, KAF Equities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya, menjangkakan bekalan terhad menuju ke depan akan mengekalkan permintaan pada paras stabil.

Ia berkata, negara kini memasuki musim output rendah bermula November 2021 hingga Mac 2022.

Katanya, eksport ke China mungkin meningkat pada Oktober susulan penutupan beberapa kilang pengisar kacang soya berikutan kekurangan tenaga dan penghantaran ke seluruh dunia juga akan disokong oleh pembukaan semula ekonomi berikutan pelaksanaan vaksinasi COVID-19 meningkat secara beransur-ansur.

Sumber – Berita Harian