Malaysia mempunyai matlamat khas untuk mencapai sifar pelepasan gas rumah kaca pada 2050 serta menjaga perubahan iklim dalam serta luar negar.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberi amanat penting dalam persidangan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) Isnin depan, sebagai komitmen Malaysia bagi mencapai matlamat itu.

“MyCAC dipengerusikan Perdana Menteri akan bersidang pada 11 Oktober 2021 sebelum persidangan United Nations Climate Change Conference (COP26). Majlis ini dianggotai oleh menteri persekutuan bersama dengan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri mewakili kerajaan negeri.

“Ucapan Perdana Menteri dalam MyCAC nanti, satu komitmen penting untuk kita bawa dalam persidangan COP26,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya Kementerian Alam Sekitar dan Air mengalu-alukan perhatian dan kerjasama pihak pembangkang dalam mengarus-perdanakan agenda perubahan iklim di Malaysia.

Beliau berkata, kerjasama strategik dan holistik dari semua peringkat kerajaan serta penggiat industri perlu ditingkatkan dan diperluas, bagi mencapai pembangunan lestari.

Katanya, kementerian itu dan agensinya aktif mempromosi agenda pertumbuhan hijau seperti perluasan pelaksanaan perolehan hijau di peringkat persekutuan, kerajaan negeri dan tempatan.

“Inisiatif ini bagi meningkatkan potensi permintaan dan pengeluaran produk dan perkhidmatan yang mesra alam. Insentif seperti pengecualian cukai seperti Green Investment Tax Allowance (GITA) dan Green Income Tax Exemption (GITE) turut diperkenal, bagi menggalakkan perkembangan industri hijau negara.

“Beberapa strategi pembangunan rendah karbon dari aspek perbandaran dan mobiliti telah dibangunkan oleh kementerian. Inisiatif berkenaan selaras dengan strategi yang digariskan dalam RMK-12 serta membabitkan kerjasama kerajaan negeri, kerajaan tempatan serta pemain industri teknologi hijau,” katanya.

Tamat