Umat Islam di Malaysia dijangka dapat menunaikan ibadah umrah tidak lama lagi. Sehubungan itu, kerajaan bakal mengumumkan tentang prosedur operasi standard (SOP) dan mekanisme bagi menunaikan ibadah umrah di Makkah kepada umat Islam di negara ini menjelang November depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, pengumuman itu mengenai SOP dan mekanisme penghantaran jemaah umrah dalam suasana norma baharu.

“Mekanisme penghantaran jemaah ke tanah suci serta SOP norma baharu bagi menunaikan ibadah umrah berkenaan akan ditetapkan oleh Jabatan Perdana Menteri melalui agensinya, Jabatan Wakaf Haji dan Umrah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Pengkalan Chepa dekat sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah PUSPEN Siti Rugayah Ismail dan Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rahayu Ahmad.

Sumbangan berkenaan diberikan bagi membolehkan 195 pelatih di pusat itu bercucuk tanam termasuk secara hidroponik.

Mengulas lanjut Marzuk bagaimanapun berkata, operasi dan kuota penghantaran jemaah bagi ibadah umrah bergantung kepada kelulusan kerajaan Arab Saudi.

“Kalau Arab Saudi bagi keizinan 100,000 orang jemaah sehari untuk menunaikan ibadah umrah, ia satu jumlah yang sangat besar.

“Kita akan mematuhi apa yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Mungkin ada pecahan tertentu untuk negara Asia, Malaysia dan lain-lain negara,” ujarnya.

Terdahulu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kapasiti harian bagi jemaah umrah kini dinaikkan kepada 100,000 orang bermula 1 Oktober 2021.

Tamat