Hanya melalui gabungan Islam dan Melayu melalui kerjasama parti komponen PAS,UMNO dan Bersatu mampu mengangkat martabat agama serta bangsa dalam kerajaan.

Naib Presidennya, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, PAS mengulangi pendirian supaya kesemua parti terbabit bergerak bersama demi kebaikan masa depan negara.

Oleh itu wajib bagi PAS memperkukuhkan hubungan dalam Muafakat Nasional (MN) dan Pakatan Nasional (PN).

“Pendirian kita sejak dahulu pun kita mahu dua-dua parti bergerak sekali dalam hubungan MN dan PN. Pada teori politik kita, ketiga-tiga parti utama terbabit perlu bekerjasama dalam pilihan raya akan datang.

“Ia untuk memastikan kemenangan lebih mantap. Kalau masing-masing bawa diri maka kita tidak akan berjaya. Akan jadi seperti sekarang kerajaan tidak stabil,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Baru-baru ini Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan masih ada ruang untuk mempertahankan MN sekiranya PAS bersedia.

Malah pemimpin terbabit juga acap kali mengeluarkan kenyataan Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, PAS sering tertanya sama ada kenyataan yang dikeluarkan presiden Umno itu mewakili pandangan parti atau sekadar hanya pandangan peribadi.

“Kadang-kadang kita tertanya adakah kenyataan presiden Umno mewakili pandangan parti yang sebenar.

“Sebab apa yang kita dengar di luar, itu adalah pandangan yang berbeza daripada apa yang disebut oleh presiden. Jadi kita berusaha supaya boleh bekerjasama.

“Kita tahu Umno ada masalah dengan Bersatu dan kita bukan mahu paksa Umno. Mungkin kita boleh cari satu kaedah persefahaman dan kerjasama bagi memastikan tidak bertembung pada pilihanraya. Kaedah itu yang kita cari,” katanya.

Malah berdasar kajian yang dibuat bagi mewujudkan kerajaan yang memiliki majoriti besar perlu ada kerjasama banyak pihak.

Tamat