Walaupun sudah banyak nahas jalannya berlaku sehingga menyebabkan kematian akibat memandu dibawah pengaruh alkohol namun Teresa Kok (PH-Seputeh) tetap mempersoal kewajaran larangan penjualan arak di premis serbaneka.

Kadar kematian akibat yang tinggi telah menjadi bukti, namun Teresa Kok hanya memejam mata, memekak telinga dengan statistik yang ada.

Sidang Dewan Rakyat sesi pagi ini kembali panas hangat seketika apabila isu penjualan arak dibangkitkan.

Suasana panas itu bermula apabila Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) dalam soalan tambahannya meminta Kementerian Wilayah Persekutuan menyatakan matlamat dan tujuan asal Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK) yang tidak membenarkan penjualan arak di di kedai serbaneka, kedai runcit dan kedai ubat Cina di Kuala Lumpur.

Menjawab soalan itu, Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, langkah untuk memperkenalkan garis panduan LMK itu dibuat bagi membolehkan kementeriannya melihat semula jumlah lesen yang telah dikeluarkan untuk tujuan itu.

“Jadi sekarang ini kita tidak mahu lagi beri lesen (jual arak) kepada kedai runcit, kedai serbaneka, kedai ubat Cina tetapi kedai yang dikhususkan untuk jual arak dibenarkan.

“Kalau ikut statistik kebenaran yang telah diberikan ini menunjukkan bahawa mereka yang memohon dan mendapat kelulusan (jual arak) telah bertambah,” katanya.

Akibat tidak berpuas hati dengan soalan dibangkitkan, Teresa Kok berkata tidak wajar isu penjualan arak di kedai serbaneka, kedai runcit dan kedai ubat Cina di Kuala Lumpur dipersoalkan kerana perkara itu sudah lama dilaksanakan.

“Kuala Lumpur merupakan ibu negara Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk dan menjadi wajah kepada Malaysia, bukannya masyarakat konservatif di Dungun.

“Larangan ini sebenarnya telah mengecewakan banyak peniaga kerana kebanyakan kedai Cina menjual ubat kesihatan yang mengandungi arak,” katanya.

Tindakan Teresa Kok seakan nyonya tua melolong bersendirian membandingkan masyarakat Kuala Lumpur dan Dungun yang disifatkan konservatif itu membangkitkan rasa kurang senang ahli Parlimen Pas.

Beberapa ahli Parlimen Pas bangkit meminta supaya Teresa menarik balik kenyataan konservatif yang bersifat penghinaan kepada masyarakat di Dungun.

Datuk Awang Hashim (Pas-Pendang) bangkit mencelah meminta Teresa menarik balik kenyataan konservatif yang dikeluarkan itu.

Suasana tegang itu berlanjutan beberapa minit sebelum ditenangkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Tamat