Syarikat farmaseutikal gergasi, Merck Sharp & Dohme berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui MoU pembelian ubat antiviral COVID-19.

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, melalui perjanjian tersebut, kerajaan bersetuju membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap untuk merawat pesakit Covid-19.

“Keputusan ini dibuat sebagai persediaan memulakan peralihan ke fasa endemik untuk hidup bersama virus Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, langkah itu juga bagi menambah pilihan rawatan inovatif baharu sebagai ‘senjata’ untuk melawan Covid-19, selain penggunaan vaksin dan tindakan-tindakan kesihatan awam yang lain.

“Kajian dijalankan oleh Merck Sharp & Dohme mendapati Molnupiravir menurunkan kadar kemasukan ke wad sebanyak 50 peratus selain turut berkesan ke atas varian-varian virus Covid-19 lebih ganas seperti Gamma, Delta dan Mu,” katanya.

Beliau berkata, walaupun ubat Molnupiravir berkesan, ia bukan bermakna vaksin tidak diperlukan lagi.

“Fungsi vaksin adalah untuk mengurangkan jangkitan dan mencegah daripada mendapat jangkitan lebih teruk,” kata beliau.

Tambah Khairy, ubat Molnupiravir tidak boleh mencegah jangkitan tetapi hanya bermanfaat kepada yang sudah dijangkiti.

“Kita memerlukan kedua-dua kaedah untuk menurunkan beban penyakit Covid-19 sekaligus memberikan impak lebih besar dalam usaha pencegahan dan kawalan penularan jangkitan,” katanya.

Sebelum ini, beberapa negara mula membuat perolehan bagi mendapatkan Molnupiravir yang digelar ubat ajaib.

Antaranya, Australia menempah 300,000 dos pil berkenaan selain Singapura turut menandatangani akujanji pembelian.

Tamat