Satu permohonan bagi mengekradisi seorang usahawan kosmetik Muhammad Sajjad telah dihantar kepada pihak berkuasa Thailand daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata permohonan itu sudah dihantar kepada pihak berkuasa Thailand dan negara ketiga yang menjadi lokasi tujuan Sajat seterusnya selepas Bangkok.

“Proses permohonan untuk mengekstradisi Sajat sudah disiapkan dan sudah dihantar kepada pihak berkuasa Thailand dan negara ketiga iaitu Australia.

“Pada masa ini kita sedang menunggu keputusan selanjutnya dari pihak berkuasa Thailand dan negara ketiga sebelum proses membawa balik Sajat dilakukan,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Menurutnya berkata, sekiranya tiada masalah, proses membawa pulang Sajat akan dilaksanakan mengikut saluran undang-undang antarabangsa.

“Polis akan meneruskan proses membawa pulang kerana Malaysia dan Thailand terikat dengan triti yang membolehkan proses untuk membawa pulang orang yang dikehendaki atau penjenayah buruan dilaksanakan.

“Permohonan ini akan dibuat dalam tempoh masa terdekat namun bergantung kepada negara berkenaan sama ada akan memenuhi permintaan kita atau tidak,” katanya.

Sebelum ini, Sajat dilaporkan memohon kad pelarian Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) untuk mendapatkan kebenaran berpindah ke Australia, dan kini dia sedang dalam proses menunggu kelulusan dari negara ketiga berkenaan.

Sajat sebelum ini berhadapan dengan kes membabitkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum dia melarikan diri ke Bangkok, Thailand.

Tamat