Sistem pendidikan tahfiz negara sentiasa ditambah baik melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) melalui Pelan Tindakan baharu dengan kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN), agensi kerajaan serta persatuannya tersendiri.

Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Idris Ahmad, berkata pelaksanaan pelan itu turut dilaporkan secara rasmi dalam Persidangan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI).

“DPTN memfokuskan lima teras utama, iaitu pemantapan dan penguatkuasaan undang-undang melalui pemantauan PBAN terhadap enakmen dan peraturan yang berkuat kuasa di negeri.

“Selain itu, pelan itu mewujudkan model institusi tahfiz yang dapat dilihat pada Darul Quran, Maahad Tahfiz Kerajaan Negeri dan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi hal ehwal agama di Dewan Rakyat, hari ini.

Idris berkata, DTPN juga mewujudkan kurikulum pendidikan tahfiz yang sesuai dengan pendidikan arus perdana selain menggalakkan institusi tahfiz swasta melaksanakan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT), Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) atau persijilan TVET bagi memastikan pelajar tahfiz dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurutnya ianya pada masa sama bertujuan memperkasakan sistem tadbir urus institusi tahfiz bagi menyediakan program meningkatkan kemahiran pengurusan dan pedagogi di kalangan guru tahfiz dan pengurus tahfiz.

“JAKIM dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institut Aminuddin Baki (IAB) telah mengorak langkah melaksanakan latihan kepada kumpulan sasar berkenaan.

“Seterusnya, mewujudkan sistem pengiktirafan dan pensijilan bagi institusi tahfiz dengan mewujudkan Jawatankuasa Akreditasi Tahfiz (JAT) di bawah LEPAI yang sedang membangunkan standard pengiktirafan institusi dan huffaz yang akan menjadi panduan dalam proses pengiktirafan tersebut,” katanya

Beliau berkata melalui usaha penyelarasan pengurusan pendidikan tahfiz ini mengambil kira Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peraturan di negeri dalam Malaysia.

Kerajaan memperkenalkan DPTN untuk dijadikan garis panduan dalam pengurusan pendidikan tahfiz di Malaysia.

DPTN telah dipersetujui secara dasar dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-61 pada 28 Jun 2016 dan mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Rja kali ke-247 pada 11 Oktober 2017.

Tamat