Susulan ramai bakal jemaah umrah terkandas akibat Covid-19 dua tahun lalu, pihak kerajaan menggesa syarikat pelancongan terlibat bagi memulangkan semula semua wang yang telah dibayar kepada pemiliknya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, bagaimanapun, bayaran pulangan tidak semestinya 100 peratus kerana mengambil kira kos pengurusan yang telah dibayar kepada pihak ketiga.

“Pembatalan itu bukan disebabkan salah mereka namun SOP yang ditetapkan oleh Arab Saudi. Agensi atau syarikat terbabit menerima wang mereka ini, dapat membuat pembayaran semula kepada jemaah yang tidak dapat menunaikan umrah,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian Musaadah Banjir Sekolah Rendah Islam Bistari Darul Mulkan di Jalan Kuala Sepetang dekat Matang hari ini.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini menetapkan syarat umur 18 hingga 60 tahun, berikutan itu ramai bakal umrah berusia lebih 60 tahun di Malaysia yang telah mendaftar tahun lalu, tidak dapat menunaikan ibadah umrah biarpun pembayaran telah dibuat.

Idris berkata, agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah dinasihatkan memahami konsep muamalat atau bertolak ansur dalam Islam.

Menurutnya, bagi agensi atau syarikat pelancongan yang culas atau enggan membayar semula wang jemaah tersebut, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) disaran campur tangan dalam soal tuntutan dan tindakan berikutan agensi atau syarikat pelancongan terletak di bawah bidang kuasa mereka.

Ditanya mengenai SOP umrah oleh kerajaan Malaysia, Idris menegaskan ia akan diumum tidak lama lagi.

“Kami telah mesyuarat semalam (Jumaat) namun saya tidak dapat mengumumkannya kerana ia melibatkan dasar. Insya-ALLAH perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Tamat