Semua pihak yang bersama Muafakat Nasional harus terus konsisten melakukan rundingan bagi memastikan perpaduan gabungan tersebut dapat dicapai demi rakyat.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata rundingan berterusan merupakan kunci kepada perpaduan gabungan tersebut dan tindakan yang sebaliknya hanya akan memberi keuntungan kepada pihak musuh.

“Kunci perpaduan adalah berunding. Rundingan pula mesti berulang kali dan tiada had. Ia kerana perpaduan itu memerlukan pemupukan dan penjagaan yang berterusan. Musuh perpaduan sentiasa wujud, mengintai dan menyelinap dari sudut dan lorong yang terabai.

“Kegagalan kekerapan rundingan kerapnya adalah kerana perunding yang lemah karektor dan diplomasinya. Paling teruk, melihat menghentikan perundingan sebagai jalan terbaik. Ia kejayaan buat musuh. Matlamat dibakar dan keikhlasan membenih nifak.

“Begitulah nyawa Muafakat Nasional. Siapa yang merosakkan perundingan, dialah yang paling gagal dan harus dicela. Seruan saya, terus berunding. Ia tanda keikhlasan diri dan cinta umat,” katanya melalui satu posting di laman sosial media Facebook rasmi beliau.

Status terkini gabungan Muafakat Nasional masih menjadi tanya tanya ekoran daripada keputusan bertentangan yang diambil dua parti utama yang menubuhkannya iaitu UMNO dan Pas berkaitan dengan kerjasama bersama Perikatan Nasional.

Tamat