Sekiranya Pilihanraya Negeri Melaka terpaksa diadakan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah siap dengan SOP tersendiri sebagai persiapan awal.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, KKM sudah memberi pandangan berkenaan kepada jemaah menteri (berkenaan PRN Melaka) dalam mesyuarat semalam, kini segala keputusan akan ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“KKM sudah memberi pandangan, dan kita serahkan kepada jemaah menteri untuk membuat keputusan.

“Sekiranya perlu diadakan juga PRN Melaka, KKM sudah bersedia untuk berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan SOP yang perlu diadakan.

“Buat masa ini, kita tunggu keputusan jemaah menteri dahulu, sama ada PRN diteruskan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, KKM sudah mempunyai pandangan tersendiri, dan SOP tertentu yang perlu diambil kira jika PRN Melaka perlu dilaksanakan.

Katanya, terlalu awal untuk pihaknya mengulas atau mengumumkan mengenai SOP PRN, sedangkan jemaah menteri belum lagi membuat sebarang keputusan.

Pada Selasa lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14, dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober, setelah dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Tamat