Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ts Kamel Mohamed meminta semua bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka memulangkan semula kereta rasmi serta aset kerajaan negeri.

Menurutnya tindakan itu bertujuan menyelesaikan isu berkenaan supaya tidak berlarutan sehingga mengganggu tugas penjawat awam.

Beliau berkata, setakat ini bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron sudah memulangkan kereta rasmi dan aset kerajaan negeri pada 7 Oktober lalu selepas meletak jawatan sebagai EXCO.

“Bekas ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad, yang juga bekas EXCO pula memaklumkan akan memulangkan kereta dan aset terbabit pada Isnin ini. Terima kasih diucapkan kepada kedua-dua bekas ADUN itu.

“Tindakan berkenaan membantu penjawat awam di negeri ini memfokus kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merancakkan semula ekonomi negeri yang terkesan berikutan penularan COVID-19,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau turut menyeru penjawat awam di negeri itu memberi fokus terhadap pelaksanaan projek yang sudah diluluskan supaya dapat menjadikan Melaka sebuah negeri yang progresif, maju dan berdaya saing.

Isnin lalu, ketiga-tiga EXCO serta bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan mengumumkan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 pada 4 Oktober lalu daripada Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selepas kerajaan negeri pimpinan UMNO hilang majoriti dalam DUN.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu. –

Tamat