SHAH ALAM – Sebuah parti politik baharu, Parti Kuasa Rakyat yang diterajui oleh Kamarazaman Yaakob dikatakan sebagai mahu membela nasib B40 dan M40 bakal dilancar hari ini.

Penerajunya Kamarulzaman Yaacob berkata, sidang akhbar pelancaran parti tersebut dijadualkan pada jam 3 petang di The Diplomat 10 Perkarangan Tun Ismail, Kuala Lumpur.

Melalui satu wawancara bersama media tempatan, Kamarazaman berkata, objektif utama penubuhan parti yang bakal dianggotai oleh semua kaum itu adalah bagi memperjuangkan golongan B40 dan M40.

Tambahnya, usaha menubuhkan parti itu sememangnya sudah pun bermula lebih dua tahun lalu, namun disebabkan beberapa kekangan ia terpaksa ditunda ke satu tarikh yang dirasakan sesuai iaitu pada 10 Oktober (Ahad).

“Pada awalnya kami ingin meluncurkan parti ini pada 10 Oktober 2020, tetapi oleh kerana masa itu tidak sempurna lagi dari segi barisan kepimpinan dan suasana yang tidak begitu memihak akhirnya tertunda kepada Ahad ini.

“Dari segi peluncuran pun sudah tertangguh setahun tetapi kronologinya sudah dua tahun,” katanya.

“Tetapi iklim politik semasa itu akan menentukan pengaruh,” katanya.

Berhubung dengan pemilihan akronim bagi Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman berkata, pihaknya tidak memakai perkataan ‘PKR’ bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.

“Akronim kita adalah ‘Kuasa Rakyat’. Kita tak sebut PKR tapi kita sebut parti kita adalah Kuasa Rakyat. Parti Kuasa Rakyat atau Kuasa Rakyat. Kita tidak menggunakan huruf ringkas untuk menjenamakan parti,” katanya.

Ketika ditanya mengenai sejauhmana penerimaan parti tersebut dalam kalangan rakyat, Kamarazaman berkata, pengukuran tersebut tidak boleh dilakukan ketika ini kerana ia dikatakan terlalu awal berikutan pemikiran anak muda kini berbeza dengan golongan tua.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, iklim politik semasa akan menentukan pengaruh kepada penerimaan sesebuah parti.

“Pengukuran ini saya tak boleh buat sekarang, kerana terlalu awal. Kemudian, selera orang muda hari ini yang berusia 18 tahun sudah tentu berbeza dengan orang yang berusia 96 macam Tun Dr Mahathir Mohamad dan saya, 70 tahun,” katanya.

Tamat