Melihat kepada keperluan semasa, rakyat terutamanya semua Ahli Parlimen dapat bertugas dengan tugas sebenar bukannya sekadar mencari populariti semata- mata dengan isu murahan.

Ahli Parlimen digesa lebih peka, Syed Saddiq, perlu berhenti mengeluarkan kenyataan populis dengan yang terbaharu mempertikaikan subjek yang didakwa tidak mempunyai kaitan dengan bidang pengkhususan di universiti.

Perkara ini ditekankan sendiri oleh Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd. Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli, kerana kenyataanya beliau disifatkan mengelirukan golongan muda sama ada bakal atau mahasiswa tentang peranan universiti terutama di negara ini sebagai institusi untuk membentuk nilai modal insan yang holistik.

“Universiti adalah tempat untuk mencambah ilmu serta membentuk nilai nilai modal insan yang bersifat universality dan tidak terlalu tertumpu kepada bidang pengkhususan semata-mata supaya perkembangan ilmu itu berlaku.

“Sebagai contoh, kalau subjek seperti pengajian Malaysia dan hubungan etnik tidak diwajibkan, bagaimana mereka akan didedahkan dengan identiti dan pembentukan negara yang berbilang kaum.

“Begitu juga dengan falsafah, sekiranya mempelajari bidang kejuruteraan atau seni bina (arkitek), contohnya dengan mempelajari falsafah kejuruteraan atau seni bina Islam, itu menjadi nilai tambah kepada pembinaan ilmu dan kepakaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, tanpa mengambil subjek tambahan tidak mungkin mahasiswa atas inisiatif sendiri akan menelaah ilmu sedemikian yang boleh membawa mereka bukan kepada worldview dalam keilmuan.

Terdahulu, pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 di Parlimen membangkitkan hal mengenai ekosistem pembelajaran universiti di negara ini terlalu lama kerana keperluan mahasiswa mengambil subjek yang didakwanya tidak penting.

Malah subjek seperti hubungan etnik, pengajian Malaysia, ketamadunan Islam, bahasa komunikasi dan literasi, falsafah serta penghayatan etika dan peradaban sebagai kurang penting dan tidak memberi impak kepada nilai graduan.

Mohd. Amirul Akhbar juga menempelak Syed Saddiq yang menyatakan graduan di negara ini perlu menunggu sehingga umur 26 hingga 27 tahun untuk memasuki pasaran kerja.

“Dakwaan itu langsung tidak tepat, adakah beliau tidak tahu tempoh pengajian universiti ini membolehkan graduan memasuki pasaran kerja selewat-lewatnya pada usia 23 tahun sekiranya mereka sambung pengajian sehingga peringkat sarjana.

“Setakat sarjana muda, paling awal graduan pada usia 21 tahun sudah boleh memasuki pasaran kerja,” jelasnya. –

Tamat