Judi bukanlah sumber pendapatan negara, jadi alasan meningkatkan kadar cabutan khas kepada 22 kali setahun adalah tidak munasabah.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau membantah sekeras-kerasnya usul berkenaan ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)(Pindaan) 2021 berkata, kenaikan cabutan khas itu tidak memberikan sebarang faedah kepada rakyat.
Justeru, beliau berharap kerajaan melakukan apa cara sekali untuk mencari sumber pendapatan baharu tetapi bukan dengan cara menaikkan kadar cabutan khas.
“Dalam keadaan kita mencari pendapatan baharu dan sebagainya, saya mohon sekali lagi supaya kadar kenaikan cabutan ‘special draw’ sebanyak 22 kali dibatalkan. Ia tidak mengundang apa-apa faedah kepada rakyat untuk jangka masa panjang.
“Buatlah apa saja untuk mencari pendapatan yang baharu tetapi saya mohon kepada kerajaan batalkan semula kerana ia tidak memberikan isyarat baik.
“Berapa sangatkah wang yang diperoleh daripada kenaikan ini untuk kita serapkan kepada perbelanjaan Kumpulan Wang Disatukan yang akhirnya tidak mengundang keberkatan dalam perbelanjaan negara.
“Saya mohon supaya kerajaan umumkan diturunkan semula, dibatalkan kenaikan judi ini supaya akhirnya kita ini tidak mengundang kemurkaan daripada Allah SWT,” katanya.
Kementerian Kewangan sebelum ini mengesahkan memberi izin kepada semua syarikat perjudian untuk melakukan 22 kali cabutan khas sepanjang tahun ini.
Sebelum ini, cabutan khas itu memang diadakan 22 kali setahun namun dikurangkan kepada 11 kali pada tahun 2019 dan hanya lapan kali cabutan pada tahun 2020.
Tamat