Lajnah Ekonomi PAS hari ini mampu menunjukkan satu kejayaan baru apabila membuka sebuah Pasaraya ummah bagi membantu usahawan Melayu Islam dalam sektor perniagaan runcit.

Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perniagaan runcit antara yang banyak menyumbang dalam pembagunan ekonomi ummah.

“Perniagaan runcit ini merupakan sektor yang melibatkan barangan keperluan harian, atas sebab itu lah penyediaan barangan yang baik dan berkualiti adalah satu fardu kifayah yang sedang kita usahakan.

“Pasaraya ini juga akan menjadi satu ruang untuk membantu usahawan-usahawan bumiputra untuk memasarkan barangan mereka.

“Kebanyakan usahawan bumiputera mempunyai produk tetapi tiada tempat untuk dipasarkan, ” katanya semasa Majlis Perasmian Pasaraya Ummah di Cyberjaya semalam.

Majlis dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad.

Khairuddin berkata, Pasar Raya Ummah ini dikendalikan di bawah Lajnah Ekonomi Pas Pusat untuk dijadikan satu model perniagaan bagi seluruh ahli PAS dan juga rakyat Malaysia dalam sektor perniagaan runcit.

“Harapan kami supaya model yang kita laksanakan hari ini mampu dilaksanakan di seluruh Malaysia menerusi PAS di setiap kawasan.

“Jika semua dapat laksanakan dengan konsep yang sama, insya Allah seluruh produk-produk bumiputera di seluruh negara akan lebih cepat berkembang.

“Justeru itu konsep pasaraya ini bukan sahaja membantu menambah dana untuk parti bahkan membantu usahawan-usahawan kecil disekitar, ” katanya.

Sementara itu, Idris Ahmad berkata, Dalam konteks berniaga ini, adalah sangat penting untuk kita menjalankannya dengan jujur dan benar.

“Oleh itu, hendaklah kita selalu benar, menjaga kualiti serta mementingkan keberkatan di dalam perniagaan. Amat besar ganjaran daripada Allah SWT terhadap peniaga yang sentiasa jujur dalam menghadapi ujian dalam perniagaan.

“Dalam agenda memperkasakan lagi ekonomi orang Melayu Islam, ini adalah suatu inisiatif yang sangat baik. Kita mengharapkan lebih banyak lagi cawangan seterusnya memperkasakan masyarakat kita yang berkecimpung dalam perniagaan ,”.

Beliau pada masa sama beliau merasmikan inisiatif ‘AMAL Kongsi Rezeki’ dan keluaran minyak masak Ummah dalam program yang sama.

Tamat